Photobucket

Wednesday, February 29, 2012

Mengubati Hati



Pelbagai perkara berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ada ketikanya, hati kita terluka kerana disakiti oleh orang lain atau suasana.
Beberapa cara boleh kita amalkan untuk mengubati hati yang terluka. Keberkesanannya bergantung kepada diri anda, namun berikut adalah cara yang sering dikongsia oleh pakar.
1. Latih Minda Melupakan Kenangan Pahit
Bunyinya senang nak dibuat, tapi perlu diaplikasi berterusan. Mengaku saja anda sering merasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu, betul tak? Kita kena cut connection feeling kita dengan emosi yang lalu.
Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu, selupa yang mungkin, kasi kosong abis! Bulatkan azam untuk fokus kepada masa depan anda, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan-rakan. Anda takkan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tapi lakukan step by step dengan mengalihkan perhatian anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.
2. Buang Sikap Risau
Ada dua kesan dari sikap risau ni, pertama ia menarik nasib tak baik, masalah dan musibah - tanpa anda pinta.
Kedua, memberi kesan buruk pada kesihatan anda dari segi fizikal dan mental.
Risau membuat anda selalu menjadi sedih dan kecewa. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal emosi.
3. Belajar Rajin Bersyukur
Ucap syukur atas kesemua yang anda ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana Anda masih ada 5 deria yang lengkap; anda boleh melihat dan menarik nafas tiap kali bangun tidur, anda ada kawan rapat yang memahami anda dan anda mempunya handphone kesayangan anda. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.
4. Belajar Menjadi Pemaaf
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif. Seterusnya, meneutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda. Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tidak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu. Belajar menjadi pemaaf dan menghapus semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.
5. Ketawa, ketawa dan terus ketawa
Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan anda serta menjadikan anda girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari "funny side" dalam setiap situasi; agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa layan kecewa sedangkan anda boleh ketawa? Come on...
6. Ubah Fikiran
Kita tak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari disebalik mendungnya awan.
Walaupun perkara tidak berpihak kepada anda, cari cara bagaimana anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya.
Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang.
Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk sedangkan anda boleh tarik semua yang baik-baik?
Fikir yang buruk, Anda dapat yang buruk jawapnya. Ini hukum alam dinamakan hukum sebab dan akibat.
7. Hati Mesti 'Keras'
Bukan keras sembarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tapi balasan pada perbuatan-perbuatan anda di masa lalu. Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya.
Cuba ingat balik kejahatan kecil yang anda lakukan pada orang lain, mungkin ada walau anda tak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan. Sebelum masuk tidur, set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya.
Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri.
Selepas bangun tidur, katakan pada diri ini adalah hari yang baru untuk Anda.
Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru tu hari yang baik, sungguh baik, sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya.

Wednesday, February 22, 2012

Aku Sudah Bertunang



Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama… Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.“Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?”Aku menjawab tenang.. “Warna putih, bersih…”“Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat.”“Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan.”Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu… helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama… Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang… As-Syifa’ aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

“Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?”Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.“Insya Allah, ‘dia’ tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama.”Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.“Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!”Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan ‘dia’ yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa’ ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

“Bila enti menikah?”Aku tiada jawapan khusus.“Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu…” Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.“Jemput ana tau!” Khalilah tersenyum megah.“Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!” Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.“Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti…”

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu…“Usah berlebihan ya…”Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.“Insyirah, jom makan!”Aku tersenyum lagi… Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.“Tafaddal, ana puasa.”Sahabiah juga semakin galak mengusik.“Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat… Tarikhnya tak tetap lagi ke?”“Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi.”Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itusahaja.

…………………………………..................................................................

“inna lillahi wainna ilaihi rajiun…”“Tenangnya… Subhanallah. Allahuakbar.”“Ya Allah, tenangnya…”“Moga Allah memberkatinya….”Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.Akhirnya, mereka ketahui sosok ‘dia’ yang mendekatkan aku kepada Allah.Akhirnya, mereka kenali sosok ‘dia’ yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.Akhirnya, mereka sama-sama mengambil ‘ibrah dari sosok ‘dia’ yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar…Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku… Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa’nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.“Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan ‘dia’ yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui…”

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian…“Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?”Ibu tenang menjawab… “Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh.”“Allahuakbar…” Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.“Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama…”Ibu angguk, tersenyum lembut… “Ini nak, bukunya.” Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk ‘Malam Pertama di Alam Kubur’.“Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis… Khalilah tak tahu mak cik.”“Dan sejak dari hari ‘khitbah’ tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan…”Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

“Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil ‘ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu.”

Betapa tabahnya Insyirah menerima ketentuan Ilahi....,
Betapa bersedianya beliau untuk bertemu dengan Pencipta....,
Betapa  kuatnya beliau walaupun tahu saat-saat kematiannya....,

Subhanallah..

Macam mana dengan kita???
Bersediakah kita menerima ketentuannya???
Bersediakah kita untuk bertemu dengan Allah???

Wallahu'alam...

Tuesday, February 21, 2012

Siapa yang Menegur, Apa yang Ditegur!!!



Firman Allah S.W.T: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk". (Surah An-Nahl ;125)

Insan yang lemah seperti kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan ini akan berlarutan sekiranya tidak disedarkan ataupun tiada sesiapa yang menegur kita. Tetapi, tidak semua manusia boleh menerima teguran dengan hati yang terbuka. Kita sering menilai siapa yang menegur, bukannya apa yang ditegur. Berlapang dadalah menerima teguran tersebut. Walaupun setinggi manapun ego kita, kita perlu menerima teguran yang membawa kebaikan kepada kita. Orang yang memberi teguran juga memainkan peranan yang penting terhadap apa yang ditegurnya, jangan samapi dilabel sebagai 'cakap tak serupa bikin'.

Sesungguhnya. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit. Islam telah menyediakan garis panduan dalam membuat teguran. Niat kita menegur seseorang iru mestilah betul demi kebaikan orang itu dan bukannya bertujuan menjatuhkannya, menghina, menunjukkan keaiban atau apa-apa jua alasan. Tiga faktor yang harus diambil kira ialah:

1. Tidak merendah-rendahkan orang yang ditegur
2. Waktu yang sesuai untuk menegur
3. Memahami kedudukan orang yang ditegur

Cara kita menegur juga perlu berhikmah. Kita bukan sengaja mencari kelemahan tetapi memberi nasihat kepadanya. Hidup seorang mukmin seharusnya menjadi cermin kepada mukmin yang lain. Jika kita melihat suatu kebaikan yang dilakukan, kita harus memberikan pertolongan dan sokongan agar ia mendatangkan kebaikan kepada Islam. Jika berlaku kemungkaran dalam masyarakat, kita haruslah mencegahnya. 

Rasulullah bersabda: "Seseorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain. Apabila perkara aib padanya dia segera memperbaikinya.

Wallahu'alam...MUHASABAH BERSAMA~~~

Friday, January 13, 2012

»» ✿ BERUSAHA MENUJU REDHA ALLAHURABBI ✿ ««˙

❤✫•°*”☀”*°•✫❤✫•°*”☀”*°•✫❤✫•”☀”*°•✫❤✫•°*”☀”*°•✫❤✫•°*”☀

✿• بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ•✿

1. Ketika berkumur, berniatlah. " Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini."
Penjelasan : Kita hari-hari bercakap perkara tidak berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, berniatlah. "Ya Allah, putihkanlah wajahku di akhirat kelak, janganlah Kau hitamkan mukaku ini."
Penjelasan : Ahli Syurga mukanya putih berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah. "Ya Allah, berikanlah hisab-hisabku ditangan kananku ini".
Penjelasan : Ahli Syurga diberikan buku amalannya di tangan kanan.

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah. "Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisabku di tangan kiriku ini."
Penjelasan : Ahli neraka diberikan buku amalan mereka di tangan kiri

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah. "Ya Allah, lindungilah aku dari terik matahari di padang Mahsyar dengan ArasyMu."
Penjelasan : Panas di Padang Mahsyar umpama matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah. "Ya Allah ampunilah dosa telingaku ini."
Penjelasan : Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah dan lain-lain.

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah. "Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim."
Penjelasan : Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.

8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah. "Ya Allah, bawakanlah aku ke masjid dan surau bukan ke tempat-tempat maksiat."
Penjelasan : Qada' dan Qadar kita di tangan Allah.

»» Renung²kan «« (◕‿◕) »» Barakallahufikum ««
:: ☑ Jom muhasabah :: ☑ Dakwah hati :: ☑ Tarbiyah diri ::
»» ✿ BERUSAHA MENUJU REDHA ALLAHURABBI ✿ ««˙

❤✫•°*”☀”*°•✫❤✫•°*”☀”*°•✫❤✫•”☀”*°•✫❤✫•°*”☀”*°•✫❤✫•°*”☀




Monday, January 9, 2012

Cebisan Kenangan IRSHADIANZ


ukhwah yang terbina persis sekuntum bunga
meski pun kini kita terpisah demi kasih-Nya
namun cebisan kenangan kita
sentiasa bermain di bayangan mata
detik waktu yg berlalu
menjadi memori kau dan aku

sewaktu kita bersama saling setia menimba ilmu
tanpa mengenal erti penat jemu
ingatkah kau lagi
kita bersama memijak onak duri
ditanah gersang mengutip semangat suci
kini segalanya tersurat dalam sanubari

bersabarlah dengan ketetentuan-Nya
ada rahmat yg tersembunyi
bertemu berpisah kerana Allah
lumrah kehidupan insan beriman
moga saat nan indah
ku harap berulang lagi

Thursday, January 5, 2012

Melalui Sahabat, Kita Melakar Cinta Allah

"Kau tahu apa itu makna uhibbuki fillah?" tanya seorang sahabat kepada saya.
"Mencintaimu kerana Allah," Ringkas jawapan saya.
Kelihatan tidak senang duduk sahabat dengan jawapan saya. Riak muka tidak puas hati lagaknya.
"Memanglah, itu direct translate. Tak semua orang faham erti itu sebenarnya. Cuma mengungkap tetapi tidak sampai jauh ke dasar hati, kerana itu setiap perkara yang dilakukan pasti ada kurangnya, hingga kadang-kadang boleh menjadi cemburu dalam berukhwah. Manusia sebegini masih keliru sebenarnya," luah sahabat dengan air muka penuh kekesalan.
Terhenti seketika kerja yang saya sedang lakukan. Berfikir tentang kata-kata sahabat sebentar tadi.
"Cemburu dalam berukhwah? Saya setuju, bahkan ada yang masih tidak mampu mentafsir ertiuhibuki fillah itu sendiri. Keliru itu benar. Realitinya kerana fitrah berkasih yang terlampau. Rasa menyayangi yang terlampau hingga ada istilah 'dia milik aku' sahaja. Astaghfirullahal azzim, mohon dijauhkan perasaan sebegini," memandang sahabat dengan penuh pengertian.
Benar, ini kisah realiti. Sebenarnya ramai yang masih keliru dengan perasaan sendiri. Fitrah manusia memang mahu menyayangi dan disayangi, tetapi berpadalah dalam berkasih dan sayang hingga timbul perasaan ingin memiliki. Mengikut ilmu psikologi, inilah yang dinamakaninnate motive.
Maknanya jangan berkasih sayang lah?
Tidak.. bukan itu yang saya maksudkan. Berkasih sayang itu perlu, tetapi berpada dan kawallah diri. Berukhwah kerana Allah semata-mata. Jadi takkan timbul isu 'dia milik aku'.
Tidak Cemburu
Orang-orang yang beriman tidak akan rasa cemburu apabila sahabat menjalin ukhwah dengan sahabat lain. Isilah hati dan nurani dengan jalan Allah kerana ukhwah ini terjadi atas kehendak Allah. Jika ada timbul rasa cemburu, muhasabah kembali kerana sungguh itu adalah bisikan syaitan yang cuba menghasut dan menggugat ukhwah yang dibina.
Siapa kita untuk memiliki? Tiada apa-apa di dunia ini adalah milik kita. Sahabat? Bukan milik kita. Justeru kenapa mahu cemburu apabila orang lain mendampingi?
Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya mukmin itu bersaudara." (al-Hujuraat: 10)
Dari firman ini telah jelas bahawa semua muslim itu adalah bersaudara. Tiada yang tertinggal. Kita memerlukan antara satu sama lain. Seharusnya kita perlu belajar menyayangi setiap sahabat yang berada di sekeliling kita.
Dalam Islam sudah diajar tentang ithar (melebihkan orang lain) yakni tahap ukhwah yang paling tinggi manakala berlapang dada adalah tahap ukhwah yang paling rendah.
Tapi dalam apa jua keadaan, kita harus sedar tentang makna basitah (kesederhanaan). Bila sudah sayang terlebih, segala benda jadi lain. Justeru itulah kita perlu bersederhana. Kalau mahu sayangi semua, bukan memilih-milih pula.
Nasihat ini jelas untuk saya dan semua yang mempunyai sahabat. Mungkin ini sudah terjadi atau bakal terjadi. Makanya saya mahu mengingatkan dahulu sebelum terkena pada diri sendiri atau yang lain juga.
Uhibbuki fillah, best friend, teman sejati atau apa-apa sahaja akan menjadi retorik semata-mata jika setiap perhubungan itu tidak di dasari dengan iman dan takwa. Usah tertipu dengan mainan perasaan sendiri. Perbetulkan niat kembali jika masih ada cemburu di hati.
Layanan Istimewa Untuk Semua Sahabat
Sayugia saya mahu mengingatkan kalian tentang kisah Rasulullah SAW dalam bersahabat.
Adakah para sahabat yang lain merasa cemburu dengan Abu Bakr apabila Rasulullah SAW mengatakan Abu Bakr adalah teman baiknya. Saidina Umar, Uthman, Ali dan sebagainya tidak cemburu melihat persahabatan itu kerana Rasulullah SAW melayan para sahabat yang lain juga dengan istimewa. Inilah yang perlu kita contohi bersama.
Jika kita mampu untuk memberi hadiah, belanja kawan, sentiasa saling mengingat, membantu dia, bertanya khabar kepada kawan yang seorang; beri layanan istimewa dan memasak untuk kawan seorang, kenapa tidak kepada kawan yang lain kita lakukan sebegitu rupa? Adakah Islam mengajar kita untuk membanding beza darjat?
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling memutuskan hubungan dan janganlah sebagian kamu menyerobot transaksi sebagian yang lain, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim itu saudara muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, membiarkannnya (tidak memberikan pertolongan kepadanya), mendustainya dan tidak boleh menghinakannya.
Taqwa itu berada di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali). Cukuplah seorang (muslim) dianggap (melakukan) kejahatan karena melecehkan saudara muslimnya. Setiap muslim atas muslim lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya." (HR. Muslim dan Ibnu Majah)
Jadi, mari kita tajdidkan (memperbetulkan) niat kita dan banyakkan muhasabah. Mungkin selama ini kita berukhwah bukan kerana Allah tetapi atas dasar lain.. peribadi ke, minat yang sama ke, perasaan ingin memiliki ke..
Mari koreksi diri.. mari istighfar berulang-ulang kali..
"Ada tak orang rasa cemburu dengan kita. Mereka rasa takut untuk rapat sebab kita berkawan baik?" tanya sahabat lagi.
"Wallahua'lam, jika ada yang berfikiran sebegitu, mesti ada silap dia dan silap kita juga. Dalam ukhwah ini kita membina ithar tetapi kita perlukan juga basitah," tuntas saya.
Moga ini dapat menjadi renungan untuk para sahabat di luar sana. Sungguh mungkin ini juga bakal terjadi pada saya dan anda, kita tidak tahu. Jadi persiapkan diri dan bermuhasabah kembali.
Marilah kita menjalin ukhwah kerana Allah..
Untuk sahabat-sahabat saya di luar sana.. uhibbuki fillah.. harap ukhwah ini hingga ke jannah hendaknya.
Ya Allah,peliharalah ukhwah kami ini. Moga tiada hasad yang menyelirat jauh di hati yang tersirat..
Di jalan Allah,
Persahabatan ini bukan milikku dan bukan jua milikmu,
Persahabatan ini adalah perancangan daripada Allah yang mengetahui segala rahsia,
Kerana DIA lah aku mengenalimu dan kerana DIA jua telah menetapkan ukhwah itu,
Pasti terukir 1001 kenangan dan kasih sayang,
Semuanya kerana Allah,
Sungguh,
Bukan kerana selain daripada-Nya..

Jangan jadi hamba yang rugi!!!



Wahai sahabatku, jarang sekali kita mendengar 'sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya'. Begitu juga dengan peringatan-peringatan yang perlu kita sedari.

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabatku, indahnya iman itu hanya si pemilik hati yang pernah merasainya sahaja tahu betapa seronoknya berada dibawah perlindungan Allah swt. Ibadah yang kita lakukan, samada wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih indah dalam hidup ini. Kerana setiap kali hatinya menyebut nama Allah dalam zikirnya, hatinya terasa rindu untuk berjumpa denganNya. Tatkala hatinya baharu selesai menunaikan solat, tiba-tiba air mata yang jernih mengalir dari matanya, menangis mengharapkan rahmat dan keampunan dari Tuhan yang Maha Esa. Segala kehidupan seseorang itu indah belaka, tiada satu pun yang lari dari mengingati Allah S.W.T.


Sejahat-jahat manusia sekalipun, pasti tetap terdetik dihatinya perasaan rindu dalam mencari ketenangan hidup apabila bersama dengan Tuhannya.

Ada sebab mengapa ketenangan itu hilang.

Kelazatan milo yang baru dibancuh tidak sama dengan kelazatan milo yang telah basi. Refleks semula kepada diri kita, ketenangan hidup bersama agama tidak sama apabila kehidupan sudah bercampur dengan kemaksiatan. Kelazatan maksiat telah menukar keindahan yang ada pada ketenangan hidup yang hakiki.

Umpama paku yang dicabut dari dinding, walau paku itu hilang, tetapi bekas lubang tembusan paku itu masih wujud secara nyata. Begitu juga dengan hati kita. Ketika hati kita dicemari dengan maksiat, beribu-ribu paku telah tersusuk di dalam hati. Walaupun kita meninggalkan kemaksiatan tersebut, tetapi kesannya masih dahsyat kerana kesan lubang itu pasti wujud meninggalkan bekas. Dan kesan-kesan inilah yang jika kita tidak mampu menampalnya yang akhirnya membawa gelombang kedua agar kemaksiatan itu berlaku lagi sekali dalam episod kehidupan manusia.

Sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya.

Sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya, kembalikanlah ketenangan dan kemanisan iman itu secepat mungkin sebelum kenikmatan maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah kepadaNya. Kerana, apabila hati sudah berani berpaling daripada Allah, kita akan menjadi hamba yang tersesat untuk kembali.

Muhasabah untuk kembali

Jujur pada diri sendiri dalam menjawab pertanyaan persoalan diri. Akuilah segala kesilapan dan kemaksiatan yang telah kita lakukan. Tidak perlu jawapan itu diceritakan kepada orang lain, tetapi cukup sekadar kita mengingati kepada diri kita sendiri agar berusaha kembali kejalan Nya.

Jika dikau keliru atas kesilapan yang lalu.

Andainya dirimu merasakan tidak berupaya untuk kembali kerana keliru atas kesilapan yang lalu, jangan dirimu itu berputus asa kerana Allah sentiasa bersama mu. InsyaAllah, ada jalan yang benar terbentang dihadapan mu itu.


Kembalilah kepada yang Esa, yakinlah kepadaNya, pohonlah kepadaNya