Photobucket

Tuesday, May 24, 2011

ZIARAH-MENZIARAHI


Perkataan saudara sering dirujuk kepada mereka yang mempunyai hubungan pertalian darah sahaja. Ini bermakna kalau mereka bukan dari kalangan yang mempunyai hubungan pertalian darah maka bukanlah saudara namanya.


Persepsi ini agak menyimpang sedikit kalau ditinjau konsep persaudaraan yang sebenarnya mengikut perspektif Islam. Dalam Islam, semua manusia adalah bersaudara, persaudaraan yang bersifat sejagat tanpa batasan sempadan atau kawasan.


Konsep persaudaraan yang sebenarnya ialah perhubungan sesama manusia yang berterusan tidak kira keturunan, darjat, warna kulit, bahasa dan sebagainya. Ini bermakna, kalau seseorang itu memerlukan kepada bantuan, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk membantu yang kurang bernasib baik itu. Kalau perkara ini dapat direalisasikan maka hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat penyayang akan segera tercapai.


Rasulullah S.A.W. mengingatkan kita bahawa tidak dikira beriman seseorang itu sehingga ia kasihkan saudaranya sebagaimana ia kasihkan dirinya sendiri. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa menjalin tali persaudaraan sesama manusia adalah sifat yang mulia dan terpuji. Persaudaraan dalam Islam ibarat tubuh badan. Satu anggota merasa sakit, maka seluruh badan akan merasai kesakitannya.


Persaudaraan yang bersandarkan konsep saudara semasa berada atau bila ada kepentingan hendaklah dielakkan. Islam tidak meletakkan kebendaan dalam mengenal erti persaudaraan. Persaudaraan Islam adalah persaudaraan atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.


Sempena bulan Ramadan al-Mubarak ini marilah kita menginsafi diri kita untuk mengukuhkan tali persaudaraan dengan lebih rapat lagi berbanding dengan tahun sebelumnya. Marilah kita bertekad melupakan perbezaan politik yang wujud dan menghulurkan tali persaudaraan antara satu sama lain.


Janganlah hendaknya kita jadikan perbezaan pendapat sehingga terputus tali persaudaraan. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah suatu rahmat. Tetapi perbezaan dalam hal ini adalah perbezaan untuk mencari kebenaran.


Perbezaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah perbezaan yang positif. Setiap kumpulan masyarakat termasuk parti politik sentiasa berusaha untuk menyebarkan kepercayaan mereka, tanpa mempunyai niat untuk menjatuhkan dan memusnahkan orang lain, tetapi berusaha memperbaiki dan memperbetulkannya.


Perbezaan yang negatif adalah ditolak sekiranya mempunyai tujuan kepartian yang sempit atau kepentingan diri sehingga saling bermusuhan dan merosakkan serta memutuskan tali persaudaraan.


Alangkah baiknya sekiranya konfrantasi pemikiran terjadi berlandaskan dasar keadilan dan demi kepentingan kebenaran. Unsur perbezaan di sini terdapat perpaduan yang berlandaskan matlamat dan tujuan yang jelas.


Prinsip "mengasihi kerana Tuhan", "membenci kerana Tuhan" dan "mengadili kerana Tuhan" hendaklah dijadikan pedoman tingkah laku seseorang dalam mengeratkan tali persaudaraan. Sekiranya ini tidak dijadikan landasan sudah tentu perselisihan dan perbezaan pendapat akan membawa kepada konfrantasi yang tidak berkesudahan.


Dalam satu kisah, dua kumpulan Bani Hasan dari suku Badwi bermusuhan antara satu sama lain. Lebih lima puluh orang telah terbunuh akibat permusuhan itu. Walau bagaimanapun, bila satu lagi suku kaum seperti suku Sibgan atau Hadrian keluar menyerang mereka, kedua-dua kumpulan yang berselisih itu melupakan permusuhan mereka dan berjuang menentang musuh bersama, bahu membahu sehingga suku yang menyerang itu dapat dikalahkan.


Peristiwa ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita supaya sentiasa meletakkan erti persaudaraan yang sebenarnya demi memperkuatkan lagi kedudukan umat Islam. Sejarah telah menunjukkan bahawa runtuhnya tamadun Islam lampau adalah disebabkan oleh kurangnya keintiman rasa persaudaraan. Tidak ada semangat setiakawan. Kepentingan diri sendiri telah menguasai nafsu mereka sehingga akhirnya kesempatan ini digunakan oleh pihak musuh untuk menjatuhkan kerajaan Islam Othmaniyah. Lebih menyedihkan lagi ada negara Islam yang sanggup membantu musuh Islam untuk memusnahkan saudara seagamanya sendiri. Hal yang serupa hampir berlaku dalam dunia Islam pada masa kini. Semangat persaudaraan amat longgar sekali dan mereka saling bermusuhan.


Permusuhan yang berpanjangan disebabkan oleh perbezaan ideologi atau kumpulan sudah tentu merugikan. Musuh-musuh sentiasa mengambil kesempatan untuk merungkaikan ikatan ini supaya mereka mudah menggunakan kesempatan itu untuk melemahkan lagi keadaan. Apabila keadaan telah betul-betul lemah maka kesempatan ini diambil untuk melakukan sesuatu yang menguntungkan mereka.


Allah S.W.T. ternyata melarang umatnya berpecah belah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datangnya keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat" (al-Imran: 105)


Justeru itu, menjelang Aidil Fitri, sudah tentu peluang ini patut digunakan sepenuhnya untuk mengeratkan tali persaudaraan antara satu sama lain. Konsep ziarah-menziarahi tidak kira kenalan atau bukan perlu dihidupkan. Kalau dahulu, umat Islam ramai bertakbir dari rumah ke rumah sambil menikmati juadah kenapa tidak sekarang? Semangat seperti ini perlu diwujudkan kembali. Mungkin caranya berbeza tetapi konsep ziarah-menziarahi tetap bersemadi di sanubari setiap insan yang bergelar Muslim. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat" (Surah al-Hujurat: 10)


Rasulullah S.A.W. sentiasa menghulurkan tali persaudaraan tanpa mengira latar belakang seseorang itu hatta musuh Islam sekalipun. Pernah terjadi dalam sejarah, seorang wanita Yahudi yang pada mulanya amat kuat menentang Islam dan melakukan kejahatan serta penganiayaan kepada Rasulullah S.A.W., telah dilembutkan hatinya melalui contoh teladan yang ditunjukkan oleh Baginda.


Rasulullah S.A.W., apabila mendengar sahaja wanita Yahudi itu diserang penyakit, tanpa mempersoalkan latar belakang wanita ini, Baginda terus menziarahinya dengan melupakan perbezaan politik dan perencanaan jahatnya sebelum ini .


Sikap terpuji yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. telah menyebabkan dakwah Islam semakin berkembang dan dapat diterima oleh masyarakat jahiliah ketika itu. Inilah sikap yang perlu kita semaikan dalam jiwa setiap umat Islam hari ini supaya sentiasa mengeratkan tali persaudaraan antara satu sama lain demi untuk mencapai matlamat yang lebih besar.


Dengan sebab itu, penghantaran tentera negara kita bagi membantu negara-negara yang teraniaya dan tidak bernasib baik merupakan salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala dan tali persaudaraan antara satu sama lain.


Begitu juga dengan penghantaran kuih muih sempena Hari Raya Aidil Fitri kepada mereka. Selain daripada menikmati juadah tersebut, lebih penting lagi ia dapat meningkatkan tali persaudaraan sesama sendiri. Hal yang sama berlaku dalam pemberian zakat fitrah yang mana ia dapat merapatkan lagi tali persaudaraan antara golongan kaya dan miskin.


Cuba kita renungi sebentar sebuah riwayat dari Rasulullah S.A.W. diriwayatkan oleh Abu Dzar. Ada seorang mengunjungi saudaranya di suatu desa. Di tempat yang dilalui itu, Allah S.W.T. menugaskan Malaikat mencegahnya. Ketika orang itu tiba,

Malaikat bertanya: "Engkau hendak ke mana?"

Orang itu menjawab: "Aku hendak berkunjung ke rumah saudaraku di desa ini".

Malaikat bertanya lagi: "Apakah engkau ingin mendapat balas budi atas kebaikan yang pernah kau berikan kepadanya?".

Orang itu menjawab:"Tidak, hanya kerana aku mencintainya demi kerana Allah...".

Akhirnya Malaikat itu memberitahu: "Sesungguhnya aku ini diutuskan Allah supaya memberitahu kepadamu bahawa Allah mencintai dirimu seperti cintamu kepada saudaramu".


Menurut Imam Al-Ghazali, hubungan persaudaraan atas rasa keikhlasan pasti akan diredhai oleh Allah S.W.T. Akan tetapi jika hubungan persaudaraan yang dijalinkan tidak mengandungi niat ikhlas, bahkan merosakkan, pastinya ia tidak akan mendapat keredhaan Allah malah merugikan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment