Saturday, December 24, 2011

INGAT 5 PERKARA, SEBELUM 5 PERKARA





Menjadi lumrah manusia, maka akan menjadi ingat, berwaspada dan bersiap sedia apabila diberi ingatan atau amaran selagi tiada ingatan yang masuk ke corong telinga, maka akan sentiasa alpa dan leka yang akhirnya tanpa benteng iman ampuh menjerumuskan mereka ke lembah kemurkaan.

        Apabila Allah S.W.T memberi ingatan. Tegahan atau amaran, ia mempunyai maksud disebaliknya. Kita boleh menjadi kafir apabila tidak mempercayainya, munafik apabila kurang yakin dan fasik apabila menganggap mudah lantaran dituruti runtunan hawa nafsu.

        Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

        Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima peluang yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan.

        Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu.

         Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu menyiksakan.

         Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat apabila telah cukup haul dan nisbahnya.

         Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T.

         Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua? Tidakkah kita akan menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu?.

        Seterusnya Rasulullah s.a.w menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.

        Sudah tentu perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya. Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah S.W.T. Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.

        Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati adalah masa untuk menuai pula.

        Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat Islam perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah s.a.w yang amat penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti.

        Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran."


No comments:

Post a Comment