Friday, December 31, 2010

WASPADA!!! SAMBUTAN TAHUN BARU

Kehadiran tahun baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan syarak.

Bahkan di sesetengah perhimpunan tersebut ia dicemari dengan aksi pergaulan bebas di antara kaum lelaki dan perempuan, pesta tari-menari, pemakaian pakaian yang menjolok mata bahkan adakalanya minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu kedatangan detik 12 malam yang menunjukkan masuknya tahun baru.

Maka sorak-sorai serta jerit-pekik gembira bergema apabila jam tepat menunjukkan pukul 12 malam. Hiburan-hiburan berunsur maksiat ini akan berterusan sehingga ke pagi hari. Ini sebenarnya budaya kaum yang ingkar kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala yang telah menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa ini.

Budaya sebegini begitu giat dipropagandakan di negara-negara Islam melalui serangan ideologi oleh musuh-musuh Allah agar umat Islam terpesong daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Hakikatnya, kita telah diperingatkan tentang niat buruk golongan ini melalui Firman-Nya: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)." Al-Baqarah: 120.

Malangnya terdapat di kalangan umat Islam yang tidak mengendahkan peringatan tersebut dan ramai yang bukan sekadar terlibat dalam upacara sambutan tahun baru ini malah ada juga yang menganjurkan, mempromosikan dan menggalakkan sambutan hari tersebut. Sebenarnya terdapat banyak sekali dalil-dalil daripada al-Qur'an mahupun Hadis yang melarang perbuatan menyerupai tingkah-laku kaum yang menolak agama Allah di dalam perkara yang menjadi sifat dan khusus bagi mereka. Termasuk dalam perkara seumpama ini adalah meniru mereka dalam menyambut hari-hari perayaan dan pesta-pesta mereka.

Setiap sambutan yang dikhususkan pada hari tertentu dan sambutannya berulang-ulang setiap tahun serta diagung-agungkan oleh orang-orang bukan Islam maka ia termasuk dalam kategori hari-hari perayaan yang terlarang bagi umat Islam menyambutnya. Apatah lagi umat Islam mempunyai hari-hari perayaan tersendiri yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan ia membatalkan seluruh hari-hari perayaan lain yang tidak disyariatkan.

Daripada Anas bin Malik R.A, dia berkata: Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah, maka Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri." Riwayat Imam al-Nasa'i di dalam Sunannya no: 959.

Daripada Tsabit bin Al-Dhahhak R.A bahawasanya dia berkata: Seorang laki-laki telah bernazar pada masa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu dia mendatangi Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: "Sesungguhnya aku telah bernazar untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah." Lalu Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Apakah di dalamnya terdapat salah satu daripada berhala-berhala Jahiliah yang disembah?" Mereka menjawab: "Tidak." Baginda bertanya lagi: "Apakah di dalamnya terdapat salah satu dari hari-hari besar mereka?" Mereka menjawab: "Tidak." Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Tepatilah nazarmu kerana tidak perlu menepati nazar di dalam berbuat maksiat kepada Allah dan di dalam hal yang tidak dipunyai (tidak mampu dilakukan) oleh manusia." Riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3313.

Lihatlah bagaimana berhati-hatinya Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam agar kita tidak membuat sesuatu perkara yang bersamaan dengan tarikh hari-hari perayaan golongan yang syirik kepada Allah.

Tentu sekali menyambut hari-hari besar musuh-musuh Allah seperti pesta sambutan tahun baru bersama mereka di seluruh dunia memiliki implikasi yang lebih berat di sisi syarak.

Umat Islam dilarang mengikuti budaya-budaya sesuatu kaum yang bertentangan dengan syarak dan sesiapa yang meniru budaya tersebut maka di akhirat kelak mereka akan tergolong bersama-sama dengan kaum yang memusuhi Allah tersebut. "Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka." Riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3512.

Tambahan pula Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjadikan kelompok-kelompok yang ingkar kepada perintah-Nya memiliki hubungan yang akrab di antara satu sama lain. Maka keterlibatan orang-orang Islam dalam upacara-upacara golongan yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya menunjukkan mereka telah menjadi sebahagian daripada kelompok yang zalim tersebut sebagaimana ditegaskan dalam surah al-An'am ayat 129.

Apabila kita melakukan sesuatu perbuatan terlarang yang menyerupai kaum yang memusuhi Allah, ia sebenarnya secara tidak langsung menampakkan seolah-olah kita kagum dengan golongan yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengagung-agungkan budaya mereka. Sikap sebegini dicela oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui firman-Nya: "Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka." Al-Mujaadalah: 22.

Seperti yang telah sedia maklum, upacara-upacara sambutan tahun baru ini kebanyakannya adalah pesta-pesta yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang berunsur maksiat dan Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang berpesta di atas muka bumi ini dengan perbuatan-perbuatan terlarang. Ini dijelaskan dalam surah Ghaafir, ayat 75.

Berdasarkan paparan yang telah dikemukakan di atas, maka tidak boleh hukumnya seorang Muslim untuk menganjurkan, menghadirkan diri, mempromosikan ataupun membantu mengadakan perayaan-perayaan hari-hari besar yang tidak ada landasannya dalam Islam seperti sambutan tahun baru. Ini kerana ia termasuk perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala seperti dalam surah al-Maaidah ayat 2.

Pun begitu, tidaklah pula menjadi kesalahan sekiranya setiap kali munculnya tahun baru, seseorang Muslim itu melakukan muhasabah terhadap apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan berusaha untuk membuat perancangan dalam memperbaiki apa jua kelemahan yang ada dalam diri masing-masing.

Oleh itu, apabila tibanya tahun baru maka tidaklah dilarang untuk seseorang itu menanamkan azam baru yang positif serta selari dengan syarak dan hendaklah pula dia bersungguh-sungguh untuk memastikan azam tersebut menjadi realiti dan bukan sekadar angan-angan.

Apa yang lebih baik, umat Islam mengutamakan tahun baru hijrah menurut kalendar yang telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab R.A. dalam menetapkan azam baru ini. Penggunaan kalendar hijrah ini juga lebih wajar untuk diperluaskan dalam urusan-urusan harian seluruh umat Islam. Hendaklah umat Islam merasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya serta syiar-syiar yang berkaitan dengannya.

Janganlah kita menjadi umat yang tidak mempunyai pegangan, lantas mudah terikut-ikut dengan budaya-budaya asing yang cuba ditanamkan dalam masyarakat kita dengan tujuan untuk menjauhkan kita daripada jalan yang lurus lagi diredai Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Hindarkan diri kita daripada menjadi ejen-ejen yang mempopularkan gaya hidup musuh-musuh Islam serta memasyhurkan budaya-budaya kuning mereka sehingga ia mengalahkan atau menggantikan cara hidup dan akhlak-akhlak yang Islamik.

Oleh: Mohd Yaakub.



Sebagai umat Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.

Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

1. Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.

Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah "Al-‘Adat Muhakkamah."

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi : "Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat."

Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

2. Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.

3. Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

4. Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.

Oleh: Ust Zaharuddin.



Apa yang baik itu datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan yang buruk itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

والله أعلم



Dipetik dri: iluvislam.com

No comments:

Post a Comment