Saturday, July 9, 2011

HUKUM BUAT LOAN/PINJAMAN UNTUK KAHWIN

  1. Hukum buat pinjaman bank dengan tujuan untuk kahwin. Dengarnya kalau buat pinjaman untuk kahwin, perkahwinan itu tidak berkat?
  2. Cara membuat pinjaman bank mengikut syara'?
Jawapannya

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.” (An-Nur : 32)


Hukum perkahwinan


  1. Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu. Disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahwinan) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.
  2. Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.
  3. Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.
  4. Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan zahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, samaada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.
  5. Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan zahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.


Hikmah Perkahwinan


  1. Cara yang halal untuk menyalurkanm nafsu seks melalui ini manakala perzinaan liwat dan pelacuran sebagainya dapat dielakkan.
  2. Untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman.
  3. Memelihara kesucian diri.
  4. Melaksanakan tuntutan syariat.
  5. Menjaga keturunan.
  6. Sebagai media pendidikan : Islam begitu teliti dalam menyediakan persekitaran yang sihat bagi membesarkan anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral. Oleh itu, institusi kekeluargaan yang disyorkan Islam dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman kepada anak-anak.
  7. Mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab.
  8. Dapat mengeratkan silaturahim.


Bayar Mas Kahwin Atau Mahar

Mahar ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian Yang wajib. kemudian jika mereka Dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat Yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (An-Nisa : 4)

Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya.

Walimatulurus Secara Islam

Walimatulurus atau kenduri kahwin sunat (seperti majlis santapan makanan) diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat). Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkata dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka.

Terdapat beberapa adab dalam walimatulurus seperti dilakukan selepas akad nikah; menjemput jemputan mengikut keutamaan seperti didahulukan saudara-mara, kaum kerabat dari kedua-dua pihak, jiran dan rakan kenalan; bagi pengantin wanita hendaklah mengikut sunah Nabi Muhammad SAW dengan cara bersederhana dan tidak unsur mehah, maksiat dan kemungkaran; dilarang sama sekali berhutang yang membebankan.

Dalam menganjurkan agenda berkaitan Walimatulurus, etika berbudaya mengikut adat resam bangsa masing-masing adalah dibolehkan,namun perlu diingat agar penganjurannya perlulah selari dengan apa yang dianjurkan oleh Islam tanpa mempunyai rasa gharar (was-was) dalamnya. Juga tidak mempunyai pengaruh adat berunsur keagamaan dan kepercayaan yang dicedok dari agama lain. Islam melarang aktiviti persandingan seperti yang menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat melayu khususnya kerana perbuatan tersebut telah menampakkan pengaruh Hindu-Buddha, seperti aktiviti merenjis dan menepung tawar, selain memperlihatkan pasangan pengantin yang bergaya dan bersolek secara terus kepada hadirin. Hal ini akan pasti akan menimbulkan rasa bangga oleh pasangan pengantin dan menimbulkan rasa (seperti cemburu,gersang dan was-was) dari kalangan hadirin yang melihat aktiviti persandingan tersebut.

Pinjam Bank Untuk Kahwin

Saya akui kos perkahwinan dan mas kahwin sekarang ini sangat mahal sehingga boleh diibaratkan seperti ibu bapa menjual anak perempuannya. Malah perkara ini menjadi budaya dalam masyarakat melayu berlumba-lumba meletakkan mas kahwin dan hantaran yang mahal, kerana itu adalah kebanggaannya dan akan menjadi sebutan orang kampung.

Perlu kita ketahui bahawa hantaran itu merupakan perkara yang tidak wajib. Tidak menjadi masalah kalau hantaran itu tiada dan perkahwinannya juga tetap sah. Hantaran ini diadakan adalah untuk membantu keluarga perempuan untuk menyediakan majlis walimatulurus supaya perkahwinan anaknya dapat diistiharkan kepada orang kampung dan kaum kerabat. Tetapi sekarang ini saya lihat budaya itu telah berubah, ada yang mengambil hantaran untuk keuntungan peribadi, ada yang meletakkan hantaran dengan harga tinggi untuk berbangga, ada yang ingin menunjuk-nunjuk dan banyak lagi.

Ini secara tidak langsung menjadi bebanan kepada pengantin lelaki untuk menyediakan wang yang banyak sebagai kos untuk melangsungkan perkahwinan beliau. Islam telah menggariskan bahawa perlansungan perkahwinan itu secara sederhana sahaja dan tidak bermegah-megah dan tidak membebankan. Hal ini semualah yang menyebabkan berlakunya pinjaman bank, ah long dan sebagainya untuk melangsungkan perkahwinan.

Pinjaman bank untuk melangsungkan perkahwinan adalah harus, tetapi ia bergantung kepada niat kita, kalau meminjam semata-mata untuk melaksanakan perkahwinan yang besar dan tidak mampu dan terdapat pula di dalamnya persandingan, lagu-lagu yang tidak baik dan perkara-perkara yang diharamkan, maka itu adalah haram sebab di situ jelas melanggar batas syariat Islam. Tetapi kalau kita meminjam untuk melaksanakan kenduru yang sederhana dan tidak bertentangan dengan syariat disebabkan memang duit yang dikumpulkan tidak mencukupi, maka itu adalah harus. Pinjaman yang di buat mestilah dari pinjaman syariah, kalau pinjaman yang berunsurkan riba, maka itu adalah haram. Mudah sahaja untuk mengetahui pinjaman syariah ataupun tidak, anda semua boleh lihat di dalam iklan pinjaman ada tertulis huruf “i”, maka itu melambangkan pinjaman itu secara syariah. Terlebih baik, elakkan meminjam bank, kerana pinjaman ini terlibat dengan perkara-perkara yang subhah atau ragu-ragu halal dan haramnya, hal ini juga akan membuatkan perkahwinan itu akan hilang keberkatannya.

Sebagai usaha yang baik untuk mengelakkan pinjaman, pihak penganting lelaki dan perempuan perlu berpakat dan perlu bersatu dan mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan, buang acara-acara yang membazir seperti persandingan, DJ, sound sistem, mak andam dan kos-kos yang tidak penting. Penganting lelaki dan perempuan perlu berpakat dan berusaha mengumpulkan duit dari awal sebagai persediaan awal, kalau itu tak cukup juga, cuba minta sponsur keluarga yang terdekat, kalau itu tak cukup juga, maka barulah buat pinjam sebahagian yang tidak cukup sahaja dari bank.

Tujuan perkahwinan adalah mencari kebahgiaan dan keberkatan, awalilah perkahwinan itu dengan nilai-nilai Islam supaya ia menjadi berkat dan dirahmati Allah, buatlah kenduri yang dikehendaki oleh Islam iaitu sederhana dan tinggalkan adat-adat yang sesat dalam perkahwinan. Jangan jadikan kenduri perkahwinan itu dicampur adukkan perkara yang haram dan halal, kerana kenduri tersebut akan menjadi haram. Kalau kenduri dah jadi haram, maka hilanglah keberkatannya, dan disebabkan itulah berlakunya pergolakkan rumahtangga, penceraian, perkelahian dan sebagainya. Sebelum ini saya telah siarkan satu artikel yang bertajuk Jangan Berlebihan dan Menunjuk-nunjuk Dalam Perkahwinan. Sila klik sini untuk membacanya.

Nasihat 

Lihat dari hikmah perkahwinan ini adalah untuk menyatukan dua buah keluarga dan mengeratkan silatulrahim antara keluarga lelaki dan perempuan. Sebagai keluarga belah perempuan, pertimbangkan dahulu keupayaan bakal menantunya dari segi ekonominya dan taraf kehidupannya. Kalau didapati bakal menantunya dari golongan bawahan atau pertengahan, maka sesuaikanlah hantaran itu dengan ekonominya, supaya bakal menantunya dapat menyediakan kos perkahwinan tanpa pinjaman bank dan sebagainya. Ambillah sekadar untuk melaksanakan kenduri yang ringkas dan sederhana sahaja. Biar kenduri itu tidak besar, tetapi penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah. Fikirkan kehidupan anak perempuan dan suaminya selepas perkahwinan nanti, supaya mereka tidak dibelenggu dengan bebanan hutang perkahwinan.

No comments:

Post a Comment