Photobucket

Sunday, April 24, 2011

AISYAH




Rasanya tidak ada nama wanita yang lebih kerap saya sebutkan selepas Fatimah selain A'isyah. Setiapkali bertemu kanak-kanak perempuan saya akan tanyakan namanya, seperti biasa kanak-kanak yang masih malu kerana belum biasa akan diam tanpa jawapan. "Nama adik ni A'isyah ya?" Biasanya ia akan gelengkan kepala dan terus menyebut namanya yang sebenar. Secara psikologinya memang kanak-kanak tidak suka dan akan lebih mudah respon apabila nama yang salah disebutkan untuknya. Saya juga akan lebih mudah ingat nama pelajar atau anak-anak sahabat yang bernama A'isyah walaupun memang saya seorang yang pelupa.

Kenapa A'isyah (Selalu orang melayu sebut Aisyah; saya sukakan sebutan sebenar iaitu A'isyah yang bermakna penghidupan)? Pertamanya ia adalah salah seorang dari ibu kita (Ummul Mukminin) bahkan antara ibu yang paling dikasih selepas Saidatina Khadijah RA. Keduanya, ia adalah model muslimah yang benar-benar telah dididik sendiri oleh Baginda Rasulullah SAW.

Ya, dialah model pendidikan iman. Siapa yang lebih baik pendidikan imannya selain Rasulullah SAW, siapakah pelajar terbaiknya kalau bukan Saidatina A'isyah yang dididik sejak kecil oleh baginda bahkan sebahagian besar umurnya bersama Pendidik ulung itu iaitu Rasulullah SAW. Ya, dia adalah pelajar terbaik dari pendidik atau murabbi terbaik.

Kalau kita seorang remaja puteri maka A'isyah adalah sebaik-baik model untuk dikagumi dan diikuti. Jika kita seorang ibu atau ayah maka lihatlah bagaimana Rasulullah mendidik kanak-kanak dan remaja puterinya hingga tampil peribadi mukminah yang disegani. Jika kita seorang pemuda yang ingin mencari pasangan hidup biarlah Saidatina A'isyah menjadi tolok ukurnya...jika keperibadian gadis idaman kita terlalu jauh dari watak Ummul Mukminin ini, kirim salam saja, ia bukan calon yang sesuai untuk kita. Kalau kita seorang gadis yang ingin menjadi isteri solehah maka lihatlah pada A'isyah. Jadi apakah alasan untuk kita tidak kenal, cinta dan mencontohi Saidatina A'isyah ini?

Rasulullah SAW benar-benar telah mendidik Saidatina A'isyah sejak umurnya 6 tahun hinggalah ketika umurnya mencecah 18 tahun. setelah kewafatan baginda, baginda Rasulullah SAW benar-benar telah mewariskan pada ummatnya seorang ibu yang begitu faqih dan berkaliber hingga sahabat-sahabat yang hebat-hebat tanpa segan silu menuntut darinya.

Setelah pemergian isteri tercintanya iaitu Saidatina Khadijah, Rasulullah SAW sangat sedih hinggalah Rasulullah SAW bermimpi didatangi oleh Jibril bersama sebuah buaian yang didalamnya ialah A'isyah RA lalu berkata Jibril: "Wahai Rasulullah, anak ini akan menghilangkan sebahagian kesedihanmu dan sesungguhnya dalam dirinya akan kau temui pengganti Khadijah" (Ath Thabaqat Al Kubra; Ibnu Sa'd).

Baginda bermimpi sebanyak 2 kali, iaitu mimpi yang menggambarkan A'isyah sebagai pengganti Saidatina Khadijah. Dan untuk merealisasikan hal itu pada tahun yang sama Rasulullah SAW telah mengahwini Saidatina A'isyah. Sebelum penyempurnaan rumahtangga itu berlakulah proses pembimbingan dan didikan yang begitu istimewa hingga tumbuhnya jiwa contoh bagi muslimah sepanjang zaman.

Ketika itu, A'isyah RA tidak lagi tinggal sebumbung dengan Rasulullah SAW namun setiap hari Rasulullah datang berkunjung untuk memerhatikan segala perkembangan jiwa pada 'ummul mukminin kecil itu' agar terbinanya peribadi yang sesuai dengan panggilan ummul mukminin. Sungguh Rasulullah begitu menjaga hingga keluarga A'isyah sendiri terasa seolah-olah terlepas dari tanggungjawab mendidiknya. Ketika itu A'isyah RA merasakan perhatian Rasulullah SAW begitu mendalam untuknya hingga tumbuh dalam dirinya kepercayaan yang mengagumkan terhadap Rasulullah SAW. A'isyah RA melihat pada diri Rasulullah SAW benar-benar ada kasih sayang, perhatian dan kecintaan sehingga semakin kukuh kepercayaannya pada Rasulullah SAW bahkan ia benar-benar merasakan kehadiran Rasulullullah SAW itu benar-benar membahagiakannya.

No comments:

Post a Comment