Photobucket

Sunday, April 10, 2011

SABAR & REDHA

Bismillahirrahmanirrahim.







Teringat pada wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah. "Redha dengan pemberian Allah nescaya kamu akan menjadi manusia yang kaya hatinya."

Redha dan sabar umpama kembar siam, ungkapan yang sering dikepilkan bersama saat menghadapi sesuatu musibah. Apabila melihat manusia lain diberikan ujian, tidak jarang kita mengungkapkan ungkapan "sabar dan redha, insya Allah ada hikmah dari Allah."

Walaupun nampak macam kembar siam, hakikat redha dan sabar sangat berbeza.
Sabar ~ menahan diri dan mengikat hati dari merungut dengan apa yang berlaku.
Redha ~ tiada apa yang mahu diluahkan, tak rasa 'tercuit' dengan apa yang berlaku.

Ramai yang sabar dengan takdir (ujian, bala, musibah) tetapi sangat sedikit yang redha. Redha di dalam hati yang mana hanya urusan dia dan Allah sahaja.

Sebuah kisah yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas di mana Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya; "sekiranya mahu melihat wanita syurga, maka lihatlah pada wanita itu." Apakah hebatnya seorang wanita yang lemah (fizikalnya) sehingga dikatakan sebagai ahli syurga. Kita pasti pernah mendengar hadith dari Rasulullah bahawa kebanyakan penghuni neraka terdiri dari wanita, jadi... mari kita berkenalan dengan wanita penghuni syurga.

Dia bukanlah seorang srikandi yang berjuang di medan perang membunuh kaum kafir musyrikin, dia bukanlah seorang wanita yang selalu menjadi sebutan orang atau dia tidaklah dikenali sebagai seorang wanita yang hebat namun dia adalah wanita yang Rasulullah ungkapkan "sekiranya mahu melihat wanita syurga, maka lihatlah pada wanita itu."

Pada suatu hari, seorang wanita berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan minta supaya Rasulullah mendoakan untuknya agar diberikan kesembuhan oleh Allah taala dari penyakit sawan babi.

Rasulullah s.a.w. menjawab "aku boleh berdoa minta Allah sembuhkan kamu tetapi kalau kamu sabar maka kamu akan mendapat syurga." Lalu wanita tersebut meminta kepada Rasulullah s.a.w. mendoakan agar Allah tidak menyelak kainnya ketika diserang penyakit sawan babi.

Rasulullah s.a.w. menjamin bahawa wanita tersebut masuk ke dalam syurga... Allahuakbar!

Di dalam keadaan yang tidak sedar apabila diserang penyakit sawan babi, pastilah seorang wanita akan kelihatan aib apatah lagi auratnya mungkin akan terselak dan dilihat oleh orang lain. Dalam keadaan yang tidak sedar (darurat) pun beliau MALU sekiranya auratnya dilihat oleh orang lain, inikan kita yang sedar (sihat dan waras fikiran) tidak segan silu menunjukkan aurat di hadapan orang lain. Bahkan, merasa bangga! Na'uzubillah.

* Usah minta dikurangkan ujian tetapi pintalah diberatkan iman *

Kita hanya sukakan perkara yang baik dan melihat ujian serta musibah adalah bala. Hakikatnya, seorang manusia hanyalah hamba Allah yang layak untuk diuji. Setiap orang teruji tetapi dengan ujian yang tidak sama. Ada manusia yang diuji dengan kebahagiaan sehingga dia terlupa bersyukur kepada Pemberi kebahagiaan tersebut. Ada manusia yang diuji dengan derita berpanjangan sehingga terlupa bagaimana rasanya menjadi bahagia.

Hakikatnya, keindahan, kelazatan dan kenikmatan yang zahir itu adalah ujian yang lebih berat dibandingkan dengan ujian keresahan, kesengsaraan dan sebagainya. Apabila diuji dengan perkara yang membuatkan kita SERONOK, maka kita akan mudah lupa dengan Allah dan sangat sedikit yang tetap bersyukur kepada Allah sedangkan manusia yang diuji dengan perkara yang MENDUKACITAKAN maka kita akan merasa 'disentap' dan berfikir, moga taufiq dari Allah akan memandu kita kembali ke pangkuan Nya.

Kadang-kadang, kita melihat orang yang diuji dengan pelbagai rencam ujian tetap dengan wajah yang tenang... Kita jadi pelik dan dalam masa yang sama merasa kagum apalah yang menguatkan hatinya sehingga begitu kukuh berdiri. Kita lupa untuk merasa bahawa wajah yang tenang lahir dari hati yang punya hubungan akrab dengan Allah. Mereka berpuas hati (redha) dengan segala pemberian dari Allah, maka hati yang kaya itu tersinar pada wajah mereka.

Maka, latihlah diri anda untuk sabar dan redha dengan sesuatu perkara kerana pasti ada hikmah disebaliknya, insyaallah..(^_^)

No comments:

Post a Comment