Photobucket

Tuesday, April 26, 2011

Mencari Cinta Hakiki, Mendamba Redha Ilahi.........



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ilahi atas limpah & kurniaNya memberi aku peluang untuk menitipkan sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama.  Apabila berbicara tentang cinta, kita tidak dapat lari daripada berbicara soal hati dan perasaan. Sememangnya cinta letaknya di hati yang diumpamakan sebagai raja dalam kerajaan manusia. Hati itu dikuasai oleh cintanya. Hal ini bermakna, cinta yang harus bersemi di hati mestilah cinta yang “baik”. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tetapi, jika cinta itu “jahat”, maka jahatlah hati dan jahat pulalah seluruh anggota badan. Apa itu Cinta?
“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh karena embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.”(Hamka)
“Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.”(Hamka)
“Tanda cinta kepada Allah adalah banyak mengingat (menyebut) Nya, karena tidaklah engkau menyukai sesuatu kecuali engkau akan banyak mengingatinya.”Ar Rabi’ bin Anas (Jami’ al ulum wal Hikam, Ibnu Rajab)
“Aku tertawa (hairan) kepada orang yang mengejar-ngejar (cinta) dunia padahal kematian terus mengincarnya, dan kepada orang yang melalaikan kematian padahal maut tak pernah lalai terhadapnya, dan kepada orang yang tertawa lebar sepenuh mulutnya padahal tidak tahu apakah Tuhannya ridha atau murka terhadapnya.” Salman al Farisi (Az Zuhd, Imam Ahmad)
“Sesungguhnya apabila badan sakit maka makan dan minum sulit untuk tertelan, istirahat dan tidur juga tidak nyaman. Demikian pula hati apabila telah terbelenggu dengan cinta dunia maka nasihat susah untuk memasukinya.”Malik bin Dinar (Hilyatul Auliyaa’)
“Cintailah kekasihmu sekedarnya saja, siapa tahu nanti akan jadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu sekedarnya saja, siapa tahu nanti akan jadi kekasihmu. (Ali bin Abi Thalib) “
“Engkau berbuat durhaka kepada Allah, padahal engkau mengaku cinta kepada-Nya?
Sungguh aneh keadaan seperti ini. Andai kecintaanmu itu tulus, tentu engkau akan taat kepada-Nya. Karena sesungguhnya, orang yang mencintai itu tentu selalu taat kepada yang ia cintai. (A’idh Al-Qorni)”
Mari kita semua renungkan apa yang terkandung didalamnya.

Langkah Mencintai Allah
Cinta  sentiasa menjadi buruan manusia. Manusia sering memburu cinta yang berbeza. Ada yang memburu cinta wanita, suami, harta dan sebagainya. Namun cinta yang hakiki yang tidak pernah mengecewakan ialah cinta Allah. Cinta Allah-lah yang layak dikejar. Berikut merupakan petua-petua yang wajar diamalkan untuk merasai kemanisan cinta Allah.
1. Amalkan segala suruhan Allah dengan sungguh-sungguh dan tanpa banyak soal dan alasan. Jauhi larangan Allah dan jangan sekali-kali dekatinya apatah lagi melakukannya. Simpanlah rasa “tidak sedap hati” saat kali pertama melakukan sesuatu dimurkai Allah sebagai bekalan menjauhkan diri daripada maksiat.
2. Letakkan Allah sebagai keutamaan dalam hidup dan dahulukanlah Allah dalam segala sesuatu, tidak kira ketika melakukan ibadah atau saat kita memerlukan pertolongan. Sentiasa berdoa dalam setiap perbuatan kerana itu akan mengingatkan kita kepada Allah setiap masa dan ketika.
3. Redha atas segala ketentuan qada’ dan qadar terutamanya jika ditimpa musibah. Kerahkan semua anggota badan mentaati Allah, termasuk hati dan juga lidah.
4. Anggap dunia sebagai sebuah penjara. Abu Hurairah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Riwayat Muslim no. 7606) Apakah bekalan yang biasanya dibawa balik oleh seorang banduan? Apakah dia mampu membawa harta kekayaan atau sijil yang mengiktiraf tahap inteleknya? Banduan biasanya hanya mampu membawa keluar sama ada sikap lamanya atau sekeping hati yang bersih.
5. Sentiasalah ‘memperbaharui’ cinta kita kepada Allah. Dunia ini melelahkan kerana tempat beristirahat hanyalah di akhirat. Lepas satu kebaikan dan ibadah dikerjakan, lakukanlah yang lain pula.
6. Aktif. Seorang hamba yang betul-betul mencintai Allah akan ibarat peniaga yang tamak, pantang ada peluang melakukan ibadah akan terus dilaksanakan tanpa tawar-menawar.
7. Ikhlas. Pastikan cinta Allah ikhlas hanya semata-mata untuk mendapat keredhaanNya. Jangan menganggap bahawa dengan amal ibadah semata-mata telah menyampaikan diri kita kepada cintaNya. Oleh sebab itu, pintalah daripada Allah cintaNya, dan laksanakan amalan yang disukaiNya. Cintailah apa sahaja yang disukai Allah dan bencilah apa jua yang dibenciNya.

Kenali Cinta Kepada Allah
1. Tujuan – Ibarat badan manusia, mendengar adalah sifat bagi telinga, melihat adalah sifat bagi mata dan sebagainya. Begitu juga hati, sifatnya adalah selalu dalam rasa bercinta. Oleh sebab itu, hati ialah lautan cinta. Tahanlah hati anda daripada cinta, nescaya cinta pasti akan berjaya menembusi hati anda tanpa tertahan. Jadi,sebelum hati benar-benar terpaut dengan cinta dunia, tautkan hati dengan cinta Ilahi terlebih dahulu.
2. Sebab – Manusia biasanya jatuh cinta disebabkan dua perkara. Pertama disebabkan zat dan fizikal dan kedua sifat sesuatu yang dicintai. Bagaimana pula dengan Allah? Walaupun zat Allah tidak terjangkau oleh pancaindera atau akal fikiran, namun, sifat-sifat yang dimilikiNya dan atas sebab segala nikmat yang telah dikurniakanNya menyebabkan Dia sememangnya paling layak untuk dicintai…
3. Gembira – Cinta biasanya dikaitkan dengan sesuatu yang manis dan menggembirakan hingga lautan bara api musibah sanggup diredah, ibadah bagi golongan kuffar pahit terasa manis dan ringan sungguh hati meninggalkan maksiat. Bukan itu sahaja, malah nama Allah selalu disebut-sebutnya (zikir).
4. Ibarat Ikan di Laut – Orang yang benar-benar mencintai Allah tidak akan mampu “dimasinkan oleh kemasinan air laut”. Walaupun syaitan membisikkan suara merdu di cuping telinga atau walau dunia datang dalam rupa terhias indah, dia mampu membutakan mata, memekakkan telinga dan buat2 lupa ingatan dek kasih dan cinta kepada Allah. Walaupun kehidupan harian seolah-olah dia terperangkap bagi memenuhi keperluan hidup, namun segala yang dilakukannya itu hanya demi menggapai redha Allah.
5. Mencintai Apa Yang DicintaiNya – Turut mencinta orang yang dicintai oleh Allah, perkara atau amalan yang dicintaiNya. Sebaliknya juga, dia akan membenci perkara yang dibenci oleh Allah.
6. Tenang – Hati yang benar-benar cintakan Allah pasti akan merasakan ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
7. Serba Salah – Seorang hamba yang sangat mencintai Allah pasti akan timbul rasa serba salah dalam hatinya. Saat hatinya menghadap Allah, dia rasa terlalu hina dan kerdil sehingga berasa tidak layak meminta apa-apa pun daripada Allah. Namun apabila difikirkan bahawa Allah itu Maha Berkuasa, Pemberi dan Pengampun, maka hatinya tidak dapat ditahan daripada meminta-minta dan terus berharap.
8. Terus Mencari dan Menanti – Seorang hamba yang benar-benar mencintai Allah, tidak pernah berasa bahawa dia seorang hamba yang telah menemui cintaNya. Dia akan terus berjaga demi cinta kepada kekasihnya dan akan setia menunggu dengan pintu terbuka. Sebagai hasil, dia akan berkata, “Aku masih berusaha mencari cinta Allah. “Ini juga akan menjadikannya seorang yang tidak pernah duduk diam melainkan masanya diisi dengan ketaatan kepada Allah. Ahli Tasawuf juga ada menyebut, sesiapa yang mengalihkan perhatiannya daripada cinta kepada Allah walau sekelip mata, maka dia tidak akan sampai kepada matlamatnya mencintai Allah.
9. Hanya Satu – Ruang yang ada dalam hati hanya diperuntukkan untuk Allah sepenuhnya. Tujuan teragung mencintai Allah adalah untuk menatap wajahnya di akhirat kelak. Seluruh hidupnya ditumpukan untuk mencintai Allah. Hatinya menolak segala yang dapat menariknya daripada menggapai matlamat agung ini.
10. Berkorban – Orang yang hatinya dipenuhi rasa kecintaan yang mendalam terhadap Allah akan sanggup mengorbankan segala-galanya demi Allah. Antara perkara yang paling layak dikorbankan ialah kelazatan dunia.

Cinta Hakiki – Raihan
Telah lama cinta terbiar
Dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar
Dari cinta hakiki

Kerna sekian lamanya
Manusia dibuai cinta nafsu
Kita sering menyangka
Cinta manusia itu yang sejati

Namun lupakah kita
Cinta nafsu selalu mengecewakan
Sering berubah tidak menentu
Seperti pantai dipukul ombak

Cintakan Allah cinta sebenarnya
Itulah cinta yang sejati
Kasihlah sesama manusia
Kerna cinta yang hakiki
Hanya untuk Tuhan Yang Esa

Cintakan Allah tiada kecewa
Engkaukan tenang di waktu susah
Kembalilah kepada Tuhan
Dia kan tetap menanti

Kehadiran hambaNya
Yang sebenar pasrah
Cinta kasih sayangNya tidak bertepi

Semoga kita sama-sama berjaya dalam perjuangan kita merebut cinta yang benar-benar hakiki ini. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment