Photobucket

Thursday, June 30, 2011

SYUKRAN AKHI..(^_^)

Syukran akhi...pemberianmu sangat dihargai!!!
Dua buah buku yang bermakna buat diriku.



Buku ini merupakan sebuah buku yang membincangkan persoalan masalah.Ia tidak mengajak pembaca bertindak lari daripada masalah ataupun terlalu memikirkan masalah,apatah lagi mencari masalah, bahkan ia menjemput pembaca supaya melihat setiap masalah yang dihadapi dengan cara pandang yang baru atau dari persepsi yang positif.

Buku ini dibahagikan kepada enam bab tidak termasuk pendahuluan dan penutupnya.Seperti buku karangan penulis terdahulu iaitu Bila Allah Menduga Kita,buku ini turut diselang-selikan dengan kisah benar berkaitan topik yang dibincangkan.Penulis juga meletakkan ayat al Qur'an serta hadith yang bersesuaian dengan pengkisahan serta puisi yang bersesuaian dalam buku ini.Selain memasukkan pengalaman sebilangan orang yang pernah berdepan dengan masalah- masalah besar dalam hidup mereka,penulis turut tidak lokek berkongsi pengalamannya sendiri.Ini bersesuaian dengan perbidalan yang menyatakan pengalaman adalah guru yang terbaik.

Pada bab pertama buku ini menghuraikan bagaimana cara kita melihat masalah.Bab ini menghuraikan cara untuk mengenalpasti masalah.Ia menjelaskan kepada kita kebiasaannya apabila dilanda masalah emosi seperti marah,sedih kecewa,tekanan dan sebagainya akan muncul secara spontan.Kita perlu bijak mengawal emosi kerana emosi yang berlebihan boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan.Kita perlu memahami bahawa masalah dan ujian hidup sama seperti nikmat dan kesenangan iaiatu sebahagian daripada ketetapan Allah yang sering mendatangi kita.Lantas kita sepatutnya berusaha agar berjaya mengawal emosi dengan baik samada masalah itu berpunca kehilangan tahap peribadi, hubungan mahupun impian.Pendek kata, jangan terlalu bersedih atas faktor kehilangan yang bersifat material dan fizikal tapi khuatirlah jika yang hilang itu adalah iman dan kekuatan rohaniah.

Bab yang kedua pula berkongsi dengan kita betapa Yang Lebih Penting Adalah Tindak Balas Kita.Apapun masalah yang kita hadapi dalam melalui hidup ini tidak sepenting bagaimana tindak balas kita terhadap masalah tersebut.Ini menekankan bagaimana masalah sebenarnya bersifat relatif.Relatif di sini merujuk kepada bagaimana cara kita memandang dan bertindak balas ke atasnya.Walaupun sesetengah buku psikologi menyatakan masalah bersifat neutral atau sebahagian yang lain menyebut masalah bersifat negatif,namun penulis menerangkan masalah bersifat relatif.Dua orang yang menghadapi masalah yang serupa mungkin memandang masalah tersebut dengan dua cara yang berbeza.Walaupun kebanyakan masalah yang kita hadapai sehari-hari mempengaruhi hidup kita,tetapi tindak balas kita terhadap masalah itu jauh lebih banyak menentukan keadaannya samada baik atau sebaliknya.Oleh itu kita sangat memerlukan kekuatan spiritual dengan mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih positif.

Bab ketiga merujuk kepada Mengambil Manfaat daripada Permasalahan Hidup. Bab ini menerangkan betapa masalah mempunyai banyak manfaat.Sebenarnya masalah sangat diperlukan dalam hidup ini(TIDAK TERMASUK MASALAH YANG DICARI).Masalah dapat menjadikan kita insan yang lebih bersungguh-sungguh,lebih kuat,lebih banyak belajar,lebih tekun,lebih menghargai kesenangan,boleh berempati terhadap orang lain yang sakit atau kekurangan,boleh menjadi penghapus dosa,boleh menjadi sedekah, boleh mendekatkan diri lebih lagi terhadap Allah.Membaca pengalaman penulis yang melalui pelbagai kesusahan dalam menghasilkan buku Bila Allah Menduga Kita yang beberapa kali sebelumnya ditolak memberi satu keinsafan yang besar.Pelbagai rintangan yang dilalui penulis sebelum buku tersebut akhirnya menjadi Best Seller book di rangkaian kedai buku MPH dan Popular.Sehingga kini, buku tersebut sudah diulang cetak beberapa kalih dan saya sendiri dapat melihat dengan jelas ia masih menjadi buku pilihan di MPH dan Popular.Apa akan jadi kalau penulisnya berputus asa?Mungkin kita sendiri tidak dapat membaca buku tersebut apatah lagi untuk mengambil pengajaran daripadanya dan mustahil juga jika penulis tidak bersungguh-sungguh menjadikan buku tersebut menarik perhatian pengunjung toko-toko buku dalam keadaan ratusan buku yang dicetak setiap tahun.

Bab Empat menghuraikan soal Ubat Paling Mujarab.Sungguh!Ubat yang paling mujarab untuk semua masalah dan ujian yang kita lalui adalah kesabaran.Walaupun kebanyakan manusia akan cenderung untuk mengeluh dan berputus asa,namun kedua-dua sikap itu tidak mampu mengubah atau membantu sama sekali bahkan mungkin kekusutan yang kecil menjadi semakin besar.Dalam menghadapi musibah atau masalah, kita dianjurkan supaya bersangka baik dengan Allah dan bersabar.Itulah cara bagi mengatasinya.Biarpun sesetengah orang berpandangan bahawa sifat sabar adalah pasif dan menunjukkan ketidakupayaan, hakikatnya ia adalah satu kekuatan yang aktif dan mampu meneutralkan musibah serta meraih apa yang diinginkan.Ringkasnya,orang yang sabar memiliki kecerdasan emosi yang sangat tinggi dan kesabarannya itulah kekuatan yang tidak semua orang dapat memilikinya.

Bab lima pula menyebut Kita memang Sering Menemui Masalah.Dalam bab ini kesabaran masih menjadi topik penting.Kita disarankan supaya bersabar dalam menghadapi keadaan tidak menyenangkan yang sudah terjadi dalam masa yang sama kita perlu sabar dalam mencapai keadaan yang dicita-citakan.Setiap masalah yang kita hadapi perlu diselesaikan dengan sabar agar tidak berkembang menjadi sesuatu yang lebih buruk.Biarkan yang telah berlalu dan fokuskan perhatian pada yang ada di hadapan kerana kita tidak dapat mengubah apa-apa yang sudah terjadi.Yang dapat kita lakukan adalah bersabar dan menerima seadanya tanpa keluhan.

Pada bab akhir iaitu bab Enam:Allah Lebih Mengetahui mengajak kita sama-sama mengatasi masalah hidup dengan usaha dan doa.Ini merupakan cara yang sangat efektif untuk menghadapi permasalahan dan untuk mencapai suatu tujuan.Apapun usaha dan doa memerlukan kesabaran.Apapun yang kita lalui dlaam hidp ini Allah lebih Mengetahui.Siapa kita untuk mempersoalkannya?Marah- marah jika melalui ujian samalah seperti menyalahkan Tuhan.Na'uzubillah min Zalik.

Akhir sekali pada bahagian penutupnya penulis menekankan bahawa masalah dan ujian,tidaklah seburuk yaang disangka selama ini.Cara kita memandang masalah itu dan apakah tindakan kita dalam mencari solusinya lebih utama.Usaha kita dalam melalui ujian dan musibah adalah dengan sentiasa berdoa dan berusaha.Pandanglah masalah dari satu sisi yang terlindung,insyaAllah keluh-kesah tidak akan muncul.Belon emosi dapat dikempiskan dengan baik dan masalah tersebut sesekali penting untuk kita lebih menghargai makanan yang enak saat kita terpaksa menjamu kentang rebus sahaja.Pada masa yang sama kita tidak boleh menyebut masalah adalah sesuatu yang neutral kerana itu tidak adil bagi orang yang sedang melalui masalah itu,tetapi kita boleh sifatkan masalah sebagai relatif atau subjektif kerana masalah perlu dibezakan atas pandang sisi orang yang menghadapinya.Apapun yang berlaku,Senyumlah...apapun masalahmu ia pasti akan berlalu.



Hari- hari dalam hidupku merupakan kisah benar yang telah ditulis oleh Zainab al-Ghazali al- Jubaili. Apa yang beliau coret merupakan segala pahit, manis liku-liku kehidupan  yang telah beliau  lalui sepanjang tempoh perjuangan beliau menegakkan kebenaran. Berlatarbelakangkan zaman kebangkitan Ikhwanul Muslimin iaitu ketika era pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser.  Beliau yang merupakan salah seorang pemimpin wanita Ikhwanul Muslimin pernah menghadapi beberapa cubaan untuk menjatuhkan beliau termasuk cubaan membunuh, setelah semua perancangan khianat ini tidak berjaya, akhirnya beliau menerima perintah  daripada pihak kerajaan, iaitu:

“Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab al-Ghazali  al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan keatas seorang lelaki.”

Bayangkan bagaimana perasaan seorang wanita mampu berhadapan dengan seksaan yang pelbagai, dari dipukul dengan cemeti hinggalah direndam didalam penjara berair. Beliau bukan sahaja menghadapi ujian fizikal, bahkan ujian mental apabila beliau sering ditawarkan tawaran untuk menyokong gerakan taghut  dan meninggalkan perjuangan beliau sebagai ketua muslimat Ikhwanul Muslimin. Suka untuk saya garapkan salah satu kepahitan yang telah beliau rasai, peristiwa ini berlaku di bilik tahanan nombor 24 dimana beliau telah dikunci di dalam sebuah bilik yang penuh dengan anjing yang beliau sendiri tidak tahu berapa jumlahnya. Pergantungannya ketika itu hanya pada Allah swt.

“ku baca kalimah demi kalimah. Sedangkan anjing-anjing itu tetap berusaha mencakar-cakar tubuhku. Aku merasakan salakannya memenuhi di atas kepala, di bahu, di punggung, di dada, dan di seluruh tubuhku.’’


“aku menyangka pakaian putih yang aku pakai sudah tentu berlumuran darah. Aku juga yakin bahawa anjing-anjing itu sungguh-sungguh telah mengoyakkan tubuhku. Tetapi aneh! Pakaianku seakan-akan tidak terusik, dan tidak ada bekas cakaran anjing-anjing di tubuhku.’’

Ketika saya membaca kisah ini, air mata saya hampir mengalir kerana betapa berkuasanya Allah swt melindungi siapa yang Dia kehendaki, siapa yang menaruh keyakinan hanya padaNya. Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.  Betapa kentalnya seorang wanita apabila hidup dan matinya hanya kerana Allah swt. Bergaya bukan, membebaskan diri daripada menghambakan diri kepada manusia yang lemah lagi hina lalu mengalihkan seluruh jiwa dan raga kepada Yang Maha Kekal, Yang Maha berkuasa iaitu Allah yang Maha Esa. Buku ini sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat kerana apa yang dikisahkan adalah kisah benar dan kita masih melihat impaknya sehingga kini, tanpa pertolongan Allah swt apakah Ikhwanul Muslimin mampu mengegar dunia dimasa kini? Tanpa pendukung yang yakin pada Allah seperti ini, mampukah Ikhwanul Muslimin menelusuri zaman, membina tampuk perjuangan lantas memarakkan semangat revolusi yang berlaku kini?.  Bukan ikhwanul Muslimin sahaja, tetapi siapa- siapa pun mampu menjadi hebat sebegini andai seluruh hidup dan matinya diserahkan kepada Allah swt. 

Selain itu juga, jalan cerita yang penuh onak dan duri-duri dunia disulami dengan semangat Zainab membuatkan saya bangga dan kagum atas kekuatan zahir dan batin yang beliau miliki, bagaimana beliau boleh memeperoleh kekuatan ini walaupun ditawarkan dengan jawatan yang tinggi, kehidupan yang mewah oleh anjing-anjing Jamal Abdul Nasser. Apabila anda membaca buku ini, tahulah anda dimana kekuatan yang diperoleh beliau dalam mengharungi badai kehidupan yang tidak pernah henti dari memukul dirinya.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (9:111)

Beliau dibebaskan pada tahun 1971. Semangat, kekuatan dan keyakinan yang mantap kepada pertolongan Allah swt dalam meghadapi segala jenis penyeksaan menjadikan beliau teladan (qudwah) kepada generasi pejuang  dalam menegakkan kebenaran di muka bumi ini sehingga hari kiamat.

1 comment: